Masjid USIA: Simbolik Ketoleransian Hubungan Islam-Kristian di Sabah





Sumber: http://as-syatibiyah.blogspot.com/p/sejarah-masjid-sda-bandar-kota-kinabalu.html

Sejarah dan latar belakang Masjid USIA

Masjid Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) ataupun dahulunya dikenali sebagai Masjid Seventh Day Adventist/Seventh-day Advetist (SDA) telah meninggalkan kesan sejarah yakni berasal dari sebuah gereja kepada sebuah masjid. Penamaan semula masjid tersebut adalah sejajar dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti Sabah Pertama, Almarhum Datuk Haji Mohamad Haji Ahmad (1974-1977), berikutan penggunaan nama yang tidak bersesuaian digunakan ke atas masjid tersebut. Sewaktu awal pembinaannya, ia merupakan sebuah gereja yang dibina dan dibangunkan sekitar tahun 1930 di atas bukit berhampiran Padang Merdeka Kota Kinabalu yang dipelopori oleh penganut Kristian bermazhab SDA. Namun, pada tahun 1970-an telah dijual kepada USIA berharga RM1.05 juta termasuk bangunan gereja dan tanah yang berkeluasan 0.56 hektar atas persetujuan kedua pihak ketika itu. Manakala penyerahan kunci gereja pula dibuat pada tahun 1974. Persetujuan pembelian tersebut telah dilaksanakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri ketika itu, Tan Sri Abdul Hamid Egoh bersama paderi yang terlibat semasa era pentadbiran Menteri Sabah Ketiga, juga sebagai Pengerusi Pertama United Sabah Islamic Association/ Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) iaitu Tun Datu Mustapha bin Datu Harun. Pembelian tersebut merupakan inisiatif yang diambil kerana ketika itu belum ada masjid yang dibina di sekitar bandar. Akan tetapi, punca persetujuan rela daripada pihak gereja ketika itu tidak diketahui secara mendalam.
Struktur binaan masjid tersebut masih mengekalkan ciri sebuah bangunan gereja. Selain itu, abjad SDA masih kekal tertera di menara bangunan berkenaan dibiarkan dan di antara sebab masjid berkenaan pernah dikenali sebagai masjid SDA. Walaupun bangunan asal masih tidak berubah, namun beberapa pengubahsuaian lain khususnya menambah ruangan solat dibahagian belakang masjid dibuat bagi meningkatkan kapasiti jemaah terutama untuk solat jumaat. Kedudukan masjid ini berdekatan pusat bandaraya menjadikannya tumpuan penduduk di sekitarnya untuk menunaikan solat jumaat, khususnya mereka yang berada di sekitar Bandaran Berjaya, Kampung air, Jalan Gaya dan Asia City. Aktiviti masjid ini masih diimarahkan seperti aktiviti kebiasaan masjid lain seperti kelas Muqadam, kelas mengaji dan kelas Bahasa Arab. Di sebalik pensejarahan dan latar belakang Masjid USIA Kota Kinabalu telah memberi kesan kepada penyebaran dan perkembangan Islam di sekitar daerah ini.

Landskap sosial masyarakat Islam dan Kristian di Kota Kinabalu, Sabah

Kota Kinabalu merupakan ibu negeri Sabah yang menjadi pusat pentadbiran negeri ini. Populasi penduduk bandaraya Kota Kinabalu juga sangat jelas dicatatkan sebagai daerah yang paling ramai berbanding daerah-daerah lain yang terdapat di Sabah. Hal ini juga disebabkan pemusatan Kota Kinabalu sebagai pusat pentadbiran utama Sabah, malahan pemesatan proses urbanisasi menjadikan Kota Kinabalu  sebagai sebuah bandar terbesar di Sabah sehingga kini. Pemesatan ini membawa kepada penghijrahan masyarakat tempatan untuk datang dan menetap sama ada faktor ekonomi, pendidikan, fasiliti dan sebagainya. Oleh itu, hal ini telah membentuk percampuran masyarakat pelbagai daerah datang dengan tujuan tersendiri seterusnya memperlihatkan pertembungan antara agama dan etnik.
Pertembungan masyarakat paling ketara ialah pertembungan antara dua agama dominan di Sabah ketika itu, iaitu agama Islam dan Kristian. Dua agama ini kemudiannya memulakan gerakan mengislamisasi dan mengkristianisasi masyarakat dalam memperluaskan ajaran dan pengaruh masing-masing termasuklah di sekitar Kota Kinabalu. Fenomena ini memberi kesan kepada kelompok etnik, sepertinya masyarakat Islam terdiri dari etnik Bajau, Sulu, Melayu-Brunei, Kedayan, dan sebagainya. Manakala, etnik-etnik yang menetap di kawasan pedalaman majoritinya masyarakat Kristian yang terdiri daripada etnik Kadazandusun dan Murut serta subetnik masing-masing. Ringkasnya, awal tahun 1900, gerakan Kristian membawa gerakan kristianisasi penjajah sangat kuat sehingga mencapai kejayaan besar sewaktu di bawah penjajahan Syarikat Berpiagam Borneo Utara Bristish (SBBUB). Namun, pertubuhan gerakan Islam USIA sekitar tahun 1969an menjalankan gerakan pengislaman secara besar-besaran yang bukan sahaja memberi kesan terhadap peningkatan penganut lslam di Sabah, malahan usaha ini telah menjadikan Islam diiktiraf sebagai agama rasmi di Sabah. Dengan itu, sewaktu penjajahan SBBUB, daerah Kota Kinabalu awalnya didominasi oleh masyarakat Kristian, namun  kekuatan daripada gerakan Islam secara mendadak telah menandingi populasi Kristian, akan tetapi tidak dinafikan pengaruh agama Kristian masih kuat disebabkan kesan penjajahan tersebut. Hasil dari gerakan ini, secara tidak langsung pertembungan dua agama ini  telah mendasari hubungan bersepadu antara masyarakat Islam dan Kristian di daerah ini.
Kronologi ini membuktikan hubungan Islam dan Kristian sudah lama dibina sebagai sebuah masyarakat beragama  yang mendominasi di daerah ini. Meski pun Kota kinabalu hari ini didominasi oleh masyarakat Islam, namun sosio agama Islam-Kristian dari dulu sehingga kini masih kekal berdamai. Misalnya, persetujuan pembelian Masjid USIA secara rela daripada pihak gereja Kristian SDA kepada pihak USIA tanpa kekerasan. Fenomena bersejarah ini direkodkan betapa persefahaman antara dua pihak tersebut bersetuju secara damai. Seterusnya, institusi keagamaan seperti pembinaan gereja mahupun pembinaan sekolah mubaligh di sekitar Kota Kinabalu juga didirikan secara damai tanpa mencetus provokasi dan bantahan. Iklan-iklan dan propaganda Kristian yang ditampalkan didinding-dinding bangunan mahupun dipamerkan papan iklan (billboard) di tepi-tepi jalan di sekitar daerah ini juga terpamer secara damai.  Bukti-bukti jelas ‘secara damai’ memperlihatkan ketoleransian cukup sinonim di  Kota Kinabalu, malahan juga di sekitar daerah-daerah Sabah yang lain.
Realiti kebersamaan ini menunjukkan kesepaduan masyarakat beragama yang telah terjalin sekian lama. Namun, tidak mengurangkan walau sedikit jurang kemasyarakatan antara agama ini berdasarkan tidak wujud provokasi mahupun bantahan dibuat secara besar-besaran yang berlaku di daerah ini. Hubungan harmoni dalam kalangan masyarakat Islam dan Kristian di daerah ini sama sahaja sebagaimana hubungan masyarakat Islam dan Kristian di daerah Sabah yang lain. Cumanya, di sini penulis ingin menyoroti landskap sosial masyarakat Kota Kinabalu sehingga fenomena secara damai mendasari ketoleransian masyarakat.

Keharmonian bukti ketoleransian masyarakat beragama di Sabah

Toleransi cukup sinonim di Sabah. Berdasarkan data-data perolehan penulis sebelumnya mencatatkan rekod bahawa ketoleransian yang tertinggi adalah di negeri Sabah. Kita lihat sahaja suasana di sekitar negeri ini, pembudayaan toleransi terlihat jelas bilamana kelangsungan hidup bersama secara aman (peaceful co-existence) ditonjolkan sebagaimana fenomena-fenomena yang direkodkan dalam keratan akhbar, kajian-kajian  lepas mahupun pengalaman-pengalaman masyarakat setempat sendiri. Bukan itu sahaja, kekuatan keserumpunan   juga menjadi punca sikap bekerjasama dan sifat terbuka dalam kalangan masyarakat  meskipun berbeza agama. Hal ini bermaksud, kesepaduan masyarakat bukan sahaja dilihat dari aspek ‘seagama’ masyarakat, namun ia juga dilihat ‘sedarah’ dan ‘seetnik’ sama ada dalam kalangan ahli keluarga atau dalam kalangan komuniti etnik masing-masing. Misalnya, keharmonian percampuran dalam kalangan ahli keluarga beza agama (mixed-faith family) antara Mualaf dan keluarga asalnya yang banyak berlaku di sekitar Sabah, namun hubungan kekeluargaan masih dikekalkan berdasarkan pertalian darah. Tambahan pula, budaya keserumpunan juga terlihat jelas apabila kesetiaan terhadap etnik masing-masing memberi kesan kepada saling memahami dan menghormati sesama mereka. Fenomena sebegini menjadi dasar ke atas percampuran rentas agama seakan menjadi kebiasaan masyarakat seolah ‘tidak ada apa-apa’ yang berlaku dalam kalangan mereka. Secara tidak langsung, saling memahami dan menghormati menjadi cerminan kepada masyarakat luar terhadap harmonisasi hubungan yang dibina bermula dari akar umbi lagi.
Seterusnya, bukti toleransi ini juga dapat dilihat melalui percampuran yang melibatkan perkahwinan campur agama (interfaith marriage), penukaran yang melibatkan pemelukan agama Islam secara tidak langsung meningkatkan populasi Mualaf dan keluarga beza agama di Sabah. Hal ini juga dapat dibuktikan melalui peningkatan jumlah golongan Mualaf negeri Sabah yang dicatatkan paling tinggi berbanding negeri-negeri lain. Peningkatan ini membuktikan bahawa penerimaan berlapang dada masyarakat terhadap perubahan yang berlaku meski dalam ahli keluarga sendiri secara tidak langsung memberi kesan kepada hubungan sosial masyarakat beragama. Perbezaan yang dialami masyarakat beragama di Sabah bukan menjadikan isu serius untuk dipertikaikan. Oleh yang  demikian, penerimaan masyarakat ‘secara damai’ membawa kepada toleransi keharmonian antara masyarakat beragama di Sabah.
Kesimpulannya, hubungan masyarakat beragama di Sabah disemai melalui kerjasama berlapang dada, diterap bermula daripada hubungan akar umbi setia keluarga dan etnik, akhirnya membentuk kesepaduan antara masyarakat. Masjid USIA pula menjadi simbolik pensejarahan hubungan Islam-Kristian yang meninggalkan kesan berpanjangan khusus di daerah Kota Kinabalu Sabah. Bangunan ini dijadikan contoh penulis bahawa penyelesaian ‘secara damai’ kepada setiap punca permasalahan merupakan proses harmonisasi dalam membentuk masyarakat yang pelbagai untuk bersatu.

Rujukan:

Suraya et. al., Fenomena Agama di Pedalaman Sabah, Sejarah: Journal of the Department of History, v. 28, n. 2, 2019.
Mohd Nur Hidayat Hasbollah Hajimin et. al., Migrasi Mandur Sharif dan Peranannya dalam Penyebaran Islam terhadap Penduduk Pedalaman Sabah, Prosiding Nadwah Ulama Nusantara (NUN) VIII: Sinergi Ulama dalam Pemerkasaan Ummah, 2018.
Jabatan Perangkaan Malaysia.
Mohd Izham Unnip Abdullah, Masjid USIA Kota Kinabalu bukti sejarah keharmonian beragama, laman sesawang Berita Harian, 2018,

Notes:
1.       This article is not fully academic writing, it is just a writer’s spare time.
2.       This writing is based on previous studies, observation and writing in the newspaper.
3.       All the comments and discussions given will be prioritized for future improvement.

Comments

Popular posts from this blog

KIFARAH VS KARMA